Bekalan air di Melaka dijamin mencukupi semasa Aidilfitri
Oleh Pena Merah
Bekalan air di Melaka dijamin mencukupi untuk kegunaan penduduk di negeri itu khususnya pada musim perayaan Aidilfitri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Katanya, paras air Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan merekodkan bacaan lebih 80 peratus dan berada dalam keadaan stabil.
“Ini juga menunjukkan paras empangan tidak termasuk dalam tahap kritikal dan membimbangkan selain hujan berturut-turut dalam tempoh dua hari ini juga dilihat dapat meningkatkan paras air di empangan.
“Namun, dalam masa sama pihak kita terus memantau keadaan dan jangan risau pada Hari Raya nanti tetap ada air,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Festival Kuih Tradisional Aidilfitri dan Pelita Raya Melaka di Dataran Riverside Sungai Rambai di sini malam tadi.
Hadir sama EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebelum ini melaporkan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) mengeluarkan hebahan ramalan kemarau bagi tiga lembangan sungai iaitu Sungai Muda Kedah, Sungai Kelantan dan Sungai Melaka dan kemungkinan menyebabkan gangguan air di beberapa kawasan termasuk Alor Gajah.
Sementara itu, Ab Rauf berkata Sungai Kesang di DUN Sungai Rambai akan dijadikan destinasi ketiga bagi perkhidmatan Melaka River Cruise sebagai tarikan pelancongan di Gerbang Selatan negeri itu.
Bagaimanapun beliau berkata, satu kajian akan dilakukan oleh Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) terlebih dahulu untuk memastikan kesesuaian dan keupayaan sungai itu untuk menjalankan perkhidmatan bot pelancong di situ.
“Namun sebarang keputusan kepada cadangan tersebut bergantung kepada hasil kajian dan sekiranya boleh, sudah pasti kita akan majukan kawasan ini sebagai tempat tarikan pelancong untuk perkhidmatan Melaka River Cruise,” katanya.- BERNAMA