Ernie Zakri selesa dengan imejnya sekarang

 

Oleh Razak Hasan

Ernie Zakri selesa dengan imejnya sekarang
Ernie Zakri

Penyanyi Ernie Zakri mengakui sukar untuk seorang wanita yang pernah melalui fasa tidak berhijab untuk kekal istiqamah, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan pernah tampil dengan pelbagai gaya rambut sewaktu membuat persembahan pentas sebelum ini.

Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, ketika ditemui berkata, dia sendiri suka melihat foto-foto lamanya ketika belum berhijab dan mengenang semula fesyen rambut yang pernah dia gayakan sebelum berhijab.



“Saya akui susah sebenarnya dugaan untuk wanita berhijab ini, lebih-lebih lagi apabila kita teringat zaman sewaktu sebelum berhijab. Kita rasa cantik waktu itu. Ada gaya rambut yang cantik,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bagaimanapun, isteri kepada penyanyi, Syamel itu juga mengakui telah selesa dengan imejnya sekarang dan tidak pernah berbolak-balik sehingga terdetik di hatinya untuk kembali tidak berhijab.

“Nak kata hati berbolak-balik? Tak pernah. Cuma saya hargai apa yang pernah saya lalui sebelum ini. Sebenarnya saya sudah puas menggayakan pelbagai fesyen rambut.

“Sejak saya menyanyi pada usia 17 tahun, sehinggalah saya berhijab semasa berusia sekitar 29 tahun. Saya dah buat macam-macam gaya rambut ketika itu.



“Namun, sebagai manusia biasa, tipulah kalau saya tidak rasa takut sebab hati manusia berubah-ubah. Insya-Allah, saya sentiasa mendoakan hati supaya selalu istiqamah,” tegasnya.

Mengimbas kembali momen hatinya ‘dijentik’ untuk berhijab, Ernie yang ditemui semasa majlis pelancaran tudung koleksi Ernie Zakri X Ayuwan, di pusat beli-belah Sogo, di sini, baru-baru ini memberitahu keputusannya untuk berhijab adalah kerana takut jika dia meninggal dunia akibat dijangkiti wabak Covid-19.

“Ketika itu negara dilanda pandemik Covid-19 dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pada tahun 2020. Itulah momen hati saya terjentik untuk bertaubat dan menutup aurat kerana takut, bila-bila masa mungkin saya akan dijemput kerana covid-19.

“Memang rasa takut sangat ketika itu. Saya pakai tudung kerana terfikir, kalau tiba-tiba saya meninggal dunia akibat virus covid-19, apa yang saya tinggalkan untuk diri sendiri?



“Adakah sekadar karier? Itu pun kalau orang ingat. Jadi saya kena ada juga ‘bekalan’ untuk diri sendiri,” dedahnya. – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button