Najib mohon semakan kehakiman baki penjara enam tahun kepada tahanan di rumah

Oleh – Syeikh Baran


Najib mohon semakan kehakiman baki penjara enam tahun kepada tahanan di rumah
NAJIB memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun kepada tahanan di rumah. FOTO Arkib NSTP

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini, untuk mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun kepada tahanan di rumah.

Bekas pemimpin Umno itu juga membuat permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman Titah Utama Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda.

Najib, 71, selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 1 April lalu menerusi Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan yang dimuat turun melalui sistem carian mahkamah, Najib berkata, jika Titah Adendum itu wujud, kesemua atau salah seorang responden diarahkan untuk melaksanakan titah Yang Di-Pertuan Agong ke-16 itu dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya yang diketahui di Kuala Lumpur, yang mana Najib akan menjalani hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Najib juga memohon satu perintah supaya kesemua atau salah seorang responden memberikan salinan Titah Utama dan Titah Adendum yang dititahkan Al-Sultan Abdullah pada 29 Januari lalu.

Menerusi afidavit Najib yang diikrarkan pada 1 April lalu, Najib berkata, beliau memaklumkan melalui sesalinan surat bertulis kepada Al-Sultan Abdullah pada 25 Mac lalu terhadap niatnya untuk memfailkan notis permohonan semakan kehakiman ini terhadap pihak berkuasa yang relevan berkenaan Titah Adendum itu.

“Ia kerana pada 29 Januari 2024, Tuanku Al-Sultan Abdullah adalah Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan saya mengambil langkah sebagai rafak sembah hormat tertinggi saya.

“Pada tarikh sama (25 Mac 2024) saya turut memaklumkan perkara yang sama kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai rafak sembah hormat tertinggi saya,” katanya yang turut menambah beliau tidak akan mengeksibitkan surat yang dihantar kepada kedua-dua Yang di-Pertuan Agong atas alasan kerahsiaan dan kewajaran.

Najib menambah permohonannya bersifat bona fide (berniat baik) kerana beliau terjejas teruk selain turut memfailkan notis perakuan segera supaya permohonan itu didengar sebelum tarikh Aidilfitri yang dijangka disambut pada 10 April ini.

Pendengaran untuk permohonan ini ditetapkan pada esok (4 April) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh.

Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh itu adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan urusetia lembaga itu, keputusan berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker