Pegawai kanan polis dipindah ke jawatan lain
Oleh – Syeikh Baran
Pegawai kanan polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana disyaki melindungi aktiviti haram di ibu negara dipindahkan ke jawatan lain sementara siasatan dilengkapkan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan berhubung dakwaan itu masih dijalankan oleh SPRM dan sebarang keputusan berhubung status pegawai kanan terbabit dalam pasukan masih belum diputuskan setakat ini.
“Pegawai ini direman atas dua kesalahan membabitkan Seksyen 17 Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Pegawai dari Kontinjen Kuala Lumpur terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan pada Sabtu lepas (sementara siasatan dilengkapkan).
“Kami menunggu apa sahaja keputusan dari pihak SPRM, kita sahkan pegawai terbabit sudah kembali bertugas tetapi kita tempatkan dia di tempat (jawatan) lain sementara menunggu keputusan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis serah terima tugas antara Superintendan Ashari Abu Samah dan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu, Asisten Komisioner Mohd Lazim Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini hari ini.
Mengulas mengenai kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang tidak menolak kemungkinan pegawai terbabit tidak bergerak solo, Rusdi berkata, pihaknya enggan memberi sebarang komen berhubung dakwaan itu selagi siasatan belum selesai.
Katanya, pihak akan menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan itu secara selari dengan siasatan SPRM.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang pegawai kanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ditahan SPRM pada 23 March lalu selepas dipercayai terbabit melindungi aktiviti haram di sekitar ibu negara.
Penahanan pegawai kanan yang bertugas di sebuah jabatan itu dilakukan di Putrajaya.
Menurut sumber, hasil penahanan itu turut menemukan sejumlah wang bernilai lebih RM1 juta hasil serbuan beberapa premis disyaki miliknya.
Susulan itu, Azam Baki dalam satu sidang media berkata, pegawai kanan polis yang ditahan kerana menerima suapan bagi melindungi kegiatan haram di ibu negara baru-baru ini berkemungkinan besar tidak menjalankan aktiviti itu secara solo.
Katanya, SPRM tidak menafikan kemungkinan pegawai itu tidak bergerak sendirian dalam menerima suapan dan melindungi kegiatan terbabit, selain disyaki wujud pembabitan pegawai polis yang lebih senior.
Sumber – HARIAN METRO