Pemain simpanan bantu kemenangan Arsenal
Oleh Razak Hasan
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji barisan pemain simpanannya yang membalas kepercayaannya dengan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Luton Town pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Menyedari jadual padat bakal dihadapi bulan ini, Arteta, 42, mengambil langkah berani membuat lima pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding seri tanpa jaringan dengan Manchester City minggu lalu.
Arteta menyenaraikan Reiss Nelson, Emile Smith Rowe dan Thomas Partey dalam kesebelasan utama buat kali pertama sejak Ogos dengan merehatkan Declan Rice, Jorginho, Gabriel Jesus serta Bukayo Saka.
Mereka membalasnya dengan menampilkan prestasi cemerlang terutamanya Smith Rowe yang memainkan peranan dalam kedua-dua gol The Gunners yang dihasilkan menerusi Martin Odegaard dan jaringan sendiri bek tengah Luton, Daiki Hashioka.
“Saya melihat dari perspektif berbeza dan saya amat menggemarinya kerana mereka dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Jika anda mahu memanfaatkan skuad sedia ada, anda perlu menurunkan mereka bermain.
“Jadi saya fikir mereka bermain dengan sangat baik hari ini. Kemenangan ini amat penting kerana ia meningkatkan semangat pasukan untuk memburu sesuatu musim ini,” katanya.
Arsenal berjaya merampas semula tangga teratas buat sementara waktu, tetapi berpeluang mengekalkan kedudukan itu seandainya Liverpool tewas kepada Sheffield United biarpun ia dilihat tidak realistik. – Kosmo Online