Selesaikan sahaja secara hakam – Shila Amzah
Oleh Razak Hasan
“Settle (selesaikan) sahaja secara hakam.”
Demikian nasihat penyanyi Shila Amzah dipercayai merujuk kepada kemelut rumah tangga membabitkan Bella Astillah dan suaminya, Aliff Aziz yang masih tiada jalan penyelesaian.
Dalam masa sama, Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 34, turut mendoakan kesejahteraan mana-mana isteri atau suami yang berhadapan konflik.
“Semoga Allah permudahkan segala jalan buat isteri atau suami yang teraniaya, didera emosi, fizikal dan kewangan,” katanya menerusi aplikasi X.
Rata-rata peminat turut setuju dengan nasihat pelantun lagu Patah Seribu itu selain ada yang berterima kasih kerana sudah menimba ilmu baru.
“Rupa-rupanya, ada cara lain untuk selesaikan masalah rumah tangga ini. Terima kasih atas ilmu baru Shila,” kata peminat.
“Setuju! Bella patut teruskan dengan hakam supaya dapat meneruskan hidup dengan lebih tenang bersama anak-anak selepas ini,” ujar pengikut.
Semalam, Aliff membuat kejutan apabila enggan melafazkan talak terhadap Bella di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur walaupun menurut ibu kepada dua orang anak itu perkara tersebut telah dipersetujui sejak awal tuntutan dibuat.
Pada 13 Mac lalu, pemilik nama lengkap Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, memfailkan cerai secara ekspres tetapi Alif f tidak muncul pada hari perbicaraan atas alasan terikat dengan penggambaran drama.
Keputusan untuk bercerai diambil selepas Aliff didakwa terbabit dalam kes khalwat melibatkan pelakon Ruhainies di sebuah kondominium mewah pada 9 Mac lalu.
Pasangan itu pernah mengambil keputusan untuk berpisah pada 16 Mei 2019 selepas beberapa kali pelantun lagu Sayang-Sayang itu kantoi curang tetapi kembali rujuk ketika Bella dalam tempoh idah. – KOSMO! ONLINE