‘Tulus Ikhlas’ tema filem pendek raya Bank Rakyat
Oleh Razak Hasan
Bank Rakyat membawakan tema Tulus Ikhlas dalam menyampaikan filem pendek raya dengan mengangkat nilai ihsan dan prihatin, sejajar dengan konsep Malaysia MADANI.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani, berkata mesej memberi setulus ikhlas tidak pernah diungkapkan dalam mana-mana kempen atau produknya sebelum ini.
“Bank Rakyat menonjolkan jalan cerita berbeza yang disesuaikan dengan keadaan semasa, saban tahun.
“Contohnya, kami menghasilkan kisah fiksyen mengenai kesedaran sosial si anak kecil yang tersentuh apabila rumah dihuni anak yatim musnah dalam terbakar, tahun ini.
“Insiden kebakaran membuatkan kanak-kanak kurang bernasib kehilangan tempat berlindung. Bagaimanapun, kehidupan si anak kecil itu bersama ibu bapa dan adik perempuan cukup sempurna dengan hidangan penuh di meja, hatta pakaian ke masjid menunaikan solat tarawih juga dipastikan baharu.
“Tingkah kurang ceria si anak kecil ini menimbulkan tanda tanya ibu bapanya dan akhirnya anak meluahkan hasrat untuk berbuka puasa di rumah anak yatim.
“Namun mereka bukan hanya meluangkan masa berbuka, tapi melakukan aktiviti gotong-royong dan sepakat meraikan lebaran, atas permintaan anaknya itu,” katanya.
Terdahulu, Bank Rakyat mengadakan sidang media majlis pelancaran Filem Pendek Raya, Tulus Ikhlas Bank Rakyat di Menara Kembar Bank Rakyat yang menampilkan Datuk Aaron Aziz sebagai pengarah dan pelakon utama.
Filem fiksyen pendek berdurasi tujuh minit terbitan Razor’s Edge Pictures Sdn Bhd mengisahkan kesedaran sosial kanak-kanak berusia 10 tahun bernama Rayyan (Aaron Yusof Raj) dan bersama adiknya, Adreana Jameela Raj dengan watak bapa (Aaron) serta pelakon dan model, Sharifah Husna Syed Mustaffa sebagai ibu kepada adik-beradik itu.
Nizam berkata, pihaknya berharap garapan cerita itu membekas di hati penonton dan menjadi contoh untuk saling mengambil berat dan prihatin terhadap nasib orang lain.
“Justeru, harapan kami filem pendek ini mampu meninggalkan kesan mendalam dan impak positif kepada penonton. Teruslah berbuat baik, selain prihatin dengan realiti sosial, persekitaran dan saling bertanggungjawab membantu golongan memerlukan.
“Ini kerana penonton disajikan dengan iklan raya yang sarat dengan mesej bermakna setiap kali menjelang perayaan.
“Justeru, Bank Rakyat juga tidak ketinggalan mempersembahkan filem pendek raya menerusi pengarah baharu bagi menghasilkan naratif serta jalan cerita segar dan relevan dengan situasi semasa,” katanya. – Kosmo Online