Pelajar 15 tahun buat aksi superman diberkas
Oleh – Syeikh Baran
Tidak sampai dua hari selepas dua superman ditahan di Ayer Baloi, semalam muncul lagi superman di Kayu Ara Pasong yang melibatkan dua pelajar berusia 15 tahun.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, salah seorang daripadanya bersekolah di Kayu Ara Pasong, manakala seorang lagi bersekolah di Johor Bahru.
Katanya, kedua-dua mereka yang menunggang motosikal menggayakan ala superman di laluan Jalan Parit Panjang ke Parit Sikom sejauh 2.5 kilometer.
“Kedua-dua mereka ditahan di persimpangan Pekan Parit Sikom pada pukul 1.05 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohammad Shofee, kedua-dua remaja terbabit melakukan kesalahan dibawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, kemudian ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan keluarga supaya tidak mengulangi perbuatan yang sama.
“Mereka yang masih bersekolah telah melakukan kesalahan menunggang secara melulu dan berbahaya dengan menundukkan kepala separas handle (pemegang) serta meluruskan kedua-dua kaki ke belakang,” ujarnya.
Katanya, Op Samseng Jalanan melibatkan kawasan Bandar Pontian, Jalan Parit Panjang, Parit Sikom dan sekitar Kayu Ara Pasong, telah memeriksa sebanyak 36 motosikal dan 45 penunggang.
“Sebanyak 11 saman Pol. 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, ubah suai ekzos, tiada nombor pendaftaran, nombor pendaftaran ‘fancy’ dan lain-lain kesalahan,” jelasnya.
Dalam operasi ini juga sebanyak lima motosikal telah disita dibawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan lanjut.
Sumber – KOSMO! ONLINE