Terima hadiah RM100 juta daripada Jho Low – Jasmine Loo
Oleh – Syeikh Baran
Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini, mengaku di Mahkamah Tinggi bahawa beliau menerima hadiah RM100 juta daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, walaupun beliau sudah meninggalkan syarikat itu.
Jasmine Loo Ai Swan, 50, yang meletak jawatan daripada 1MDB pada 2013 berkata, beliau menerima wang itu pada 2014 dan menerimanya sebagai amanah dan kemudian berakhir sebagai benefisiari.
Saksi ke-50 pendakwaan itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram bekas perdana menteri itu, membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Muhammad Shafee: Mengapa dia memberi anda RM100 juta untuk seseorang yang pernah bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada 1MBD?
Loo: Saya menerima wang itu atas kepercayaan.
Muhammad Shafee: Adakah anda akhirnya menjadi benefisiari?
Loo: Ya, itu adalah hadiah.
Loo kemudian berkata, wang itu adalah untuk satu perjanjian pelaburan yang beliau buat bersama Jho Low dalam syarikatnya.
Selain itu, Loo berkata, dia menyimpan wang AS$4.5 juta yang didepositkan oleh Jho Low dalam akaunnya, untuk pembelian sebuah patung walaupun urus niaga itu tidak berjaya.
Beliau berkata, dia menjadi orang tengah dalam perjanjian itu, kerana Jho Low memintanya untuk mendapatkan sebuah patung bernilai AS$4.5 juta untuk dihadiahkan kepada Putera Faisal Turki Al Saud.
Loo berkata, perjanjian itu bagaimanapun gagal kerana Jho Low telah berubah fikiran dan wang itu kekal dalam akaunnya kerana Jho Low tidak memberikan sebarang jawapan kepadanya mengenai wang tersebut.
Namun beliau tidak bersetuju bahawa dia menyimpan wang itu kerana ia satu pembayaran untuk kerja yang telah beliau lakukan dalam 1MDB.
Loo juga mengesahkan yang beliau telah melakukan penilaian semula ke atas pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kini sedang membayar balik cukai ke atas semua lebihan dalam pendapatannya.
Beliau berkata, dia mula berunding dengan LHDN pada 2020 dan 2021 sebelum kembali ke Malaysia. Rundingan itu melibatkan sejumlah RM2.5 juta.
Hari ini, mahkamah juga diberitahu mengenai kemasukan Loo secara haram di Myanmar dan bagaimana Jho Low membantunya sepanjang berada di negara itu dari 2019 dan 2023.
“Saya diberitahu oleh Jho Low bahawa pasport saya akan dicop oleh tentera Myanmar. Namun, ia tidak berlaku dan saya ditahan oleh pihak tentera. Kemudian dengan bantuan Jho Low, saya memperoleh pasport palsu dan saya dapat bergerak dengan bebas dalam negara itu,” katanya.
Pada ketika ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, membantah soalan-soalan dikemukakan kerana ia tidak relevan dengan pertuduhan yang dihadapi Najib.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menolaknya dan membenarkan pihak pembelaan meneruskannya.
Muhammad Shafee: Cik Loo, dari apa yang telah saya tanya anda dari pagi tadi, saya nyatakan kepada anda, anda dipercayai dan paling dipercayai oleh kumpulan penipu yang diketuai oleh Jho Low?
Loo: Saya tidak setuju.
Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Sequerah bersambung 22 April.
Sumber – HARIAN METRO