Bekas ketua polis balai terima rasuah didenda RM10,000

Oleh – Syeikh Baran


Bekas ketua polis balai terima rasuah didenda RM10,000
Mohamed Azli (baju biru) ketika hadir di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Seorang bekas ketua polis balai yang menerima rasuah RM300 berhubung operasi rumah urut didenda RM10,000 oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Hukuman denda RM10,000 itu selepas mahkamah mengetepikan hukuman penjara dua bulan dan denda RM5,000 sebelum ini yang dikenakan terhadap Sarjan Mohamed Azli Adam, 60,.



Ketika kejadian perayu merupakan Ketua Polis Balai Komuniti Bandar Teknologi, Semenyih.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan akhir Mohamed Azli selaku perayu terhadap hukuman.

Bagaimanapun mahkamah turut membenarkan permohonan perayu agar denda itu dijelaskan selewat-lewatnya Isnin depan (22 April).

Berikutan perintah tersebut, perayu hanya perlu membayar baki denda RM4,000 apabila mahkamah membenarkan wang jaminan RM6,000 yang dikenakan sebelum ini, digunakan untuk menjelaskan denda.



Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Ahmad Zaidi berkata, panel hakim berpuas hati sabitan terhadapnya selamat untuk dikekalkan atas alasan wujud keterangan melimpah ruah (overwhelming evidence) yang mengaitkan perayu.

“Rayuan terhadap sabitan ditolak kerana perayu gagal menunjukkan hakim bicara terkhilaf ketika mencapai dapatan dan mensabitkannya atas pertuduhan,” ujar hakim berkenaan.

Penghakiman lanjut, Hakim Ahmad Zaidi turut berkata, jumlah (rasuah) yang terlibat adalah selain mahkamah turut mengambil kira latar belakang perayu yang bertugas selama 33 tahun dalam perkhidmatan awam.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.



Mengikut pertuduhan, Mohamed Azli didakwa sebagai Ketua Polis Balai Komuniti Bandar Teknologi menerima wang tunai RM300 daripada seorang individu berusia 43 tahun di balai tersebut pada 14 Mac 2016.

Terdahulu, peguam Wan Shahrizal Wan Ladin berhujah, rentetan kes bermula setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima aduan berhubung kegiatan agensi kerajaan melindungi operasi rumah urut dan pelacuran menggunakan khidmat pekerja asing tanpa permit.

Bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan anak guamnya melindungi operasi tersebut sebaliknya pendakwaan hanya bersandarkan kepada keterangan saksi pendakwaan ke-16 (SP16) iaitu pegawai SPRM yang menyamar.

Peguam itu juga memohon mahkamah memberi pertimbangan bahawa anak guamnya telah berkhidmat selama 33 tahun sebelum digantung tugas pada 2020 dan sepatutnya bersara wajib pada September ini.



“Anak guam saya memohon agar tidak dikenakan hukuman penjara. Hanya kerana RM300, perayu bukan sahaja kehilangan pekerjaan malah tidak merasa wang pencen dan gratuiti,” ujarnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noorhisham Mohd. Jaafar pula berhujah, keterangan SP16 boleh dipercayai dan mahkamah terdahulu menerima keterangannya bahawa wang RM300 diserahkan ketika bersalaman dengan perayu.

Sumber – KOSMO! ONLINE




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading