Jangan memandang rendah kuasa menyepikan diri – Ruhainies
Oleh Razak Hasan
“Never underestimate the power of a long protracted silence (Jangan sesekali memandang rendah kuasa menyepikan diri yang berpanjangan).”
Demikian kapsyen bahasa Inggeris yang dimuat naik pelakon Ruhainies, 32, dalam InstaStory miliknya semalam sekali gus mencetuskan teka-teki dalam kalangan orang ramai.
Menerusi perkongsian tersebut, dia yang sopan dengan persalinan menutup aurat selain memakai purdah hanya berdiri di tepi sebuah meja yang dihiasi bunga.
Ruhainies kini berada di Mekah menunaikan ibadah umrah bersama kakaknya, Risteena Munim dan beberapa ahli keluarga lain.
Dalam masa sama, pelakon drama Cukup Derita Itu tidak melepaskan peluang berkongsi foto berdiri di hadapan Kaabah.
Meskipun tidak menjelaskan secara terperinci, rata-rata netizen mendakwa kapsyen tersebut mempunyai kaitan dengan kes tangkap khalwatnya bersama pelakon Aliff Aziz di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Ruhainies sebelum ini mengambil pendirian menyepikan diri selepas menerima kecaman hebat apabila memuat naik penjelasan terperinci mengenai kronologi kes tangkap khalwat tersebut.
Dia juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas apabila isteri Aliff, Bella Astillah membuat pendedahan bahawa Ruhainies dan suaminya sememangnya mempunyai hubungan sulit.
Terdahulu, Ruhainies menzahirkan rasa syukur apabila dapat menyambut hari raya di Tanah Suci pada tahun ini.
Ujar Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, peluang berpuasa dan meraikan Aidilfitri di Tanah Suci bagai mimpi jadi kenyataan. – KOSMO! ONLINE