Salman Khan diberi amaran keras

 

Oleh Razak Hasan

Salman Khan diberi amaran keras
SALMAN Khan dan bapanya, Salim Khan menganggap insiden tembakan dilakukan musuh untuk menakut-nakutkan mereka.

Sekali lagi pelakon Bollywood, Salman Khan berdepan ancaman bunuh daripada ketua gengster, Lawrence Bishnoi yang bertahun-tahun mengugut mahu menghapuskannya.

Dalam kejadian pukul 5 pagi semalam, dua lelaki menaiki motosikal melepaskan lima das tembakan ke arah kediaman aktor terbabit di Bandra, Mumbai.



Ketika itu, Salman, 59, dan ibu bapanya dikatakan sedang tidur, manakala tembakan yang dilepaskan pula lebih kepada amaran.

Hasil siasatan awal mendapati dua tembakan dilepaskan ke dinding balkoni, dua lagi pada bahagian langsir dan tembakan terakhir ke udara.

Deputi Komisioner Polis Mumbai, Raj Tilak Roushan berkata, insiden pada awal pagi itu dilaporkan pengawal keselamatan, selain tiada kemalangan jiwa.

“Siasatan masih dijalankan dan pihak kami mendapati dua suspek yang menggunakan motosikal curi itu melepaskan tembakan sebanyak tiga pusingan.



“Motosikal tersebut ditinggalkan suspek di Gereja Mount Mary, Mumbai,” katanya dalam kenyataan media.

Polis Mumbai juga mengedarkan gambar serta video dua lelaki memakai topi dan beg sandang yang dipercayai terbabit dalam insiden menggemparkan itu kepada umum.

Seorang daripadanya dikenali sebagai Vishal iaitu ahli kumpulan kongsi gelap diketuai Lawrence Bishnoi yang sebelum ini sering mengugut mahu membunuh Salman.

Selepas video dua suspek itu tersebar, adik bongsu Lawrence mengesahkan mereka yang merancang tembakan tersebut.



Pihak terbabit mahu menunjukkan walaupun ketua mereka masih meringkuk dalam penjara, bila-bila masa saja arahan menamatkan riwayat aktor terbabit boleh dilaksanakan.

Pada masa sama, bapa Salman yang juga penulis skrip, Salim Khan dilihat melakukan aktiviti harian termasuk mengambil angin pagi di luar kediaman mereka tanpa ditemani pengawal peribadi.

Menerusi wawancara dengan wakil sebuah stesen televisyen, dia menganggap tembakan tersebut sekadar mahu menakutkan mereka.

“Saya tenang-tenang sahaja. Mereka cuma mahukan perhatian,” ujarnya ringkas.



Sementara itu, gerakan menjejaki dua suspek giat dijalankan ketika lebih 15 penyiasat melakukan pemeriksaan terperinci di lokasi tembakan.

Unit kediaman di Galaxy Apartment itu turut menjadi tumpuan ramai termasuk ahli politik yang datang untuk melihat tempat kejadian.

Dua tahun lalu, bintang filem Tiger 3 itu nyaris menjadi mangsa tembakan kumpulan sama ketika keluar dari kediamannya dengan menaiki motosikal.

Seorang lelaki mengacukan senjata kepadanya namun pegawai polis yang berada di tempat kejadian dapat memberkas penjenayah berkenaan.



Difahamkan beberapa hari sebelum insiden iaitu pada 10 Jun 2022, bapa Salman yang sedang berjoging di kawasan berhampiran kediaman mereka menerima sepucuk surat amaran.

“Seperti yang terjadi terhadap (pembunuhan) Sidhu Moose Wala”, itu antara isi kandungan surat terbabit yang berbaur amaran.

Cerita itu didedahkan kepada polis ketika melakukan siasatan kes pembunuhan rapper terkenal, Sidhu Moose Wala yang mati ditembak di rumahnya beberapa minggu sebelum itu.

Dendam Lawrence terhadap Salman bermula selepas aktor terbabit menembak antelop ketika memburu bersama beberapa rakannya di Rajasthan sekitar 2018.



Lawrence sangat menghormati antalep selain percaya itu adalah haiwan suci yang perlu dilindungi. – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button