Madu Marissa memuat naik gambar satu keluarga
Oleh Razak Hasan
Selepas berkongsi foto 1 Syawal bersama suami, madu kepada pempengaruh Marissa Dania Hakim, Misya Mazlan memuat naik gambar sekeluarga termasuk dengan dua anak mereka.
Mengenakan persalinan raya sedondon apabila memilih motif berpetak coklat dan hitam, keluarga kecil itu tampak sempurna meraikan Aidilfitri yang sudah genap seminggu.
Biarpun tanpa sebarang perincian, lagu Penjaga Hati nyanyian artis Indonesia, Nadhif Basalamah sudah cukup menggambarkan perasaannya.
Seni kata nukilan penyanyi terbabit menjurus kepada keteguhan jiwa seseorang insan yang sabar berdepan dugaan untuk kekal bersama pasangannya.
“Kerana bersamamu semua terasa indah, gundah gulana hatiku pun hancur sirna, janjiku tak kan kulepas,” demikian antara liriknya.
Menerusi gambar tersebut, Misya atau nama penuhnya Umisya Mazlan menguntum senyuman manis membayangkan kegembiraan bersama insan tersayang.
Terdahulu, Marissa membuka mulut tentang keputusan bernikah secara senyap dengan Ahmad Aslam tanpa pengetahuan keluarga atau Misya selaku isteri lelaki terbabit di Songkhla Thailand, pada Disember lalu.
Akuinya, dia tidak bersuara kerana mahu menjaga hati banyak pihak selain memerlukan ruang untuk menyelesaikan masalah rumah tangga tanpa campur tangan orang luar.
Kisah mereka sudah mula diperkatakan pada September tahun lalu apabila anak kepada pasangan selebriti Norman Hakim dan Abby Abadi itu didakwa sebagai orang ketiga sehingga menyebabkan Aslam dan isteri pertamanya, Misya bercerai.
Bagaimanapun mereka kembali rujuk ketika masih dalam tempoh idah.
Perkahwinan Ahmad Aslam dan Misya dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Hud, 3, dan Nuh, 2 tahun. – KOSMO! ONLINE