Ubai rindu arwah ibu dan arwah adik

 

Oleh Razak Hasan

Ubai rindu arwah ibu dan arwah adik
Ubai mengenang memori ketika Allahyarham ibu dan adiknya masih hidup.

Kian bertemu kemanisan hidup, pempengaruh media sosial Ubai menzahirkan rasa sayu alangkah indahnya semua itu andai Allahyarham ibunya, Rohani Jamal berada di sisi hari ini.

Kata Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli, 26, berkat doa ibu menjadi asbab rezekinya mencurah-curah serta dapat mengecap bahagia bersama isteri, Shila Amzah.



“Kan best kalau Ubai boleh kongsi rezeki yang ada sekarang dengan mak dan Azrul (adik).

“Alhamdulillah mak, atas doa mak, Ubai dapat isteri yang sangat baik, rezeki melimpah-ruah dan tak lama lagi mak akan dapat cucu pertama. Ubai janji jaga Sha dan keluarga dengan baik.

“Kalau mak dengan Azrul ada sekarang, apa yang diinginkan, insya-Allah Ubai boleh tunaikan tapi perancangan Allah terbaik. Terima kasih atas doa dan pengorbanan selama ini,” katanya dalam perkongsian Instagram.

Terdahulu, Ubai berkongsi momen syahdu bersama ibu dan adiknya, Allahyarham Azrullah Mohd. Zulkefli menerusi paparan gambar hari raya tahun lalu.



Menurutnya, kerinduan terhadap dua insan kesayangan lebih terasa ketika sambutan Syawal apabila tidak dapat bersama kedua-dua mereka merayakan hari istimewa itu.

“Selamat hari raya mak dan Azrul. Banyak yang berubah lepas pemergian ini. Rumah mak dah cantik Ubai dengan Sha buat.

“Semua yang datang beraya suka tengok rumah. Pusara mak dan Azrul pun dah cantik. Pagi raya ramai datang melawat, lagi-lagi kawan Azrul,” ujarnya lagi.

Adik Ubai meninggal dunia pada 4 Mei tahun lalu akibat kemalangan, manakala ibunya menghembus nafas terakhir dua bulan selepas itu berikutan penyakit kanser.



Ubai dan Shila mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos 2023 dan kini isterinya sarat hamil cahaya mata mereka yang dijangka lahir dalam tempoh terdekat. – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button