Terlepas tali gantung, jalani hukuman penjara 35 tahun

Oleh – Syeikh Baran


Terlepas tali gantung, jalani hukuman penjara 35 tahun
Mohamad Zulkifli diiring petugas penjara untuk mendengar keputusan rayuan hukuman terhadapnya di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini. FOTO ROSALWANI CHE SOH

Seorang peniaga warung terlepas tali gantung apabila Mahkamah Tinggi Kota Bharu di sini hari ini menggantikan hukuman tersebut dengan penjara 35 tahun selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki di Kerteh, Terengganu, sembilan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Terengganu terhadap Mohamad Zulkifli Ismail, 59.



“Hukuman mati diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 35 tahun bermula dari tarikh tangkap iaitu pada Disember 2015,” kata Maimun yang bersidang bersama-sama Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Terengganu pada 27 Mei 2018 menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohamad Zulkifli selepas didapati bersalah membunuh pengutip besi buruk, Zulkefle Abdullah, 37,

Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengekalkan hukuman mati ke atas peniaga warung itu kerana membunuh mangsa di Terengganu sehingga kisah tersebut tular di media sosial kononnya kejadian bunuh itu berlaku bagi mempertahankan diri.

Terdahulu, peguam Mazlan Md. Zain yang mewakili Mohamad Zulkifli menegaskan, anak guamnya merupakan mangsa dalam kes itu semasa usaha menangkap perompak yang mencuri besi berhampiran rumahnya.



Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal@Zainol bagaimanapun membantah dan memohon hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dikekalkan memandangkan tertuduh mengejar pelaku yang melarikan diri.

Menurut Norzilati, tertuduh juga menikam dada pelaku yang dianggap terlalu kejam kerana membiarkan mangsa mati di lokasi kejadian.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button