Sehveetrraa, Yi Wen berentap di final
Oleh – Syeikh Baran
Satu slot ke Kejohanan Skuasy Dunia hampir pasti menjadi milik Malaysia apabila dua pemain wanita negara, Chan Yi Wen dan Sehveetrraa Kumar bakal membuat perhitungan di perlawanan akhir pada aksi kelayakan zon Asia esok.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini, Sehveetrraa meneruskan aksi cemerlang apabila menang 11-2, 11-8, 11-6 ke atas pilihan ketujuh dari Hong Kong, Toby Tse.
Sebelum ini, pemain kelahiran Kedah itu sudah pun melakar kejutan apabila menyingkirkan piliha kedua dari India, Akanksha Salunkhe di pusingan suku akhir menerusi kemenangan 11-6, 11-5, 11-8.
“Saya amat bangga dengan apa yang saya tampilkan setakat ini kerana baru sahaja pulih daripada kecederaan hamstring. Saya sudah berusaha dan bekerja keras untuk menghadapi kejohanan ini.
“Ini adalah kejohanan pertama selepas kembali daripada kecederaan dan saya gembira dapat mara ke final. Untuk perlawanan esok, saya akan cuba berikan yang terbaik sekali lagi,” kata Sehveetrraa.
Menanti pemain berusia 19 tahun itu pentas final esok adalah rakan sepasukan, Yi Wen yang menewaskan seorang lagi wakil Hong Kong, Cheng Nga Ching menerusi keputusan 11-5, 11-1, 11-8.
“Saya cuba untuk tidak berfikir terlalu banyak sangat dalam perlawanan hari ini kerana semalam ia banyak mendorong saya melakukan banyak kesilapan. Saya lebih tumpukan kepada strategi permainan dan ia membuahkan hasil,” katanya.
Pemenang perlawanan akhir esok akan mengiringi pemain-pemain negara yang sudah pun mengesahkan slot ke Kejohanan Dunia di Mesir Mei depan seperti Ng Eain Yow, S. Sivasangari serta Aifa dan Aira Azman.
Sementara itu, dalam acara lelaki, hanya tinggal selangkah buat Addeen Idrakie Bahtiar melayakkan diri ke Kejohanan Dunia buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun apabila turut mara ke perlawanan akhir.
Dia yang merupakan pilihan kedua kejohanan menepati ramalan mara ke pentas final apabila dipaksa bekerja keras menundukkan pemain Hong Kong, Tang Ming Hong 7-11, 13-11, 11-5, 11-6 untuk berdepan pilihan utama dari Jepun, Ryunosuke Tsukue.
Sumber – KOSMO! ONLINE