Cuba seludup rokok dalam kontena bersama mainan plastik
Oleh – Syeikh Baran
Cubaan satu sindiket cuba mengaburi mata pihak berkuasa untuk menyeludup lebih 22 juta batang rokok yang dianggarkan bernilai RM18.5 juta termasuk duti bersama-sama kotak mainan plastik kanak-kanak di dalam kontena gagal apabila berjaya dikesan pihak kastam negeri ini.
Dalam dua kes pada 26 Mac dan 4 April lalu, sindiket tersebut hanya mengikrarkan barangan itu sebagai mainan plastik dalam borang kastam semasa pemeriksaan dijalankan oleh pegawai Unit Kawalan Kontena Penguatkuasaan Kastam Gelang Patah di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamed berkata, dalam sitaan pertama, sebuah kontena didapati sebanyak 924 kotak yang mengandungi 11,088,000 batang rokok putih dan 35 kotak mainan plastik.
Menurutnya, dalam kes kedua pada 4 April, pihaknya turutt menyita sebuah kontena yang mengandungi 915 kotak mengandungi 10,980,000 dan 33 kotak mainan plastik.
“Anggaran nilai rokok yang disita adalah sebanyak RM3.6 juta dan anggaran duti yang terlibat berjumlah RM14.9 juta. Anggaran nilai dan duti terlibat berjumlah RM18.5 juta.
“Kedua-dua kontena didapati dalam perjalanan dari Kemboja ke Mexico,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi.
Pihaknya kini masih mengesan pemilik barang dagangan tersebut.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 133 (1) ( a) Akya Kastam 1967, iaitu membuat perakuan tidak benar yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebih tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama.
Sumber – KOSMO! ONLINE