Muhyiddin dakwa Kerajaan Perpaduan retak menanti belah

Oleh – Syeikh Baran


Muhyiddin dakwa Kerajaan Perpaduan retak menanti belah
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Kerajaan Perpaduan ketika ini sedang retak menanti belah susulan ‘berbalahan’ pemimpin Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) mengenai Titah Adendum berkait Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendakwa, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kabinet dalam isu itu jelas menunjukkan ‘ketidaksatuan’ antara mereka.



“Setakat ini dikatakan lima ke enam menteri sudah buat kenyataan mengenai perkara ini tapi bila tanya Perdana Menteri, beliau kata tak tahu (dan enggan campur).

“Bersatu dan PN pandang isu ini cukup berat dan saya fikir rakyat jelata pun nak tahu apa yang dah berlaku.

 

“Jadi rakyat mesti diberi maklumat yang tepat kerana ia berkaitan dengan isu tatakelola,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 Bersatu di sini pada Ahad.

Media pada Jumaat lalu melaporkan Anwar tidak mahu terlibat dengan perbincangan membabitkan titah tambahan berhubung tahanan di rumah membabitkan Najib.



Anwar berkata, ia kerana perkara terbabit berada di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan juga melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Sebelum itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya beliau menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Timbalan Perdana Menteri itu menyokong dakwaan terbabit menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan, afidavit yang difailkan di mahkamah tidak boleh dipermainkan.



“Bagi kami (pembangkang) ini satu perkara yang besar, tidak boleh diperkecilkan tapi malang sekali baik Kabinet atau Perdana Menteri, (mereka) tak ambil satu pendirian.

“Dalam apa-apa juga situasi, Perdana Menteri tidak boleh lepas tangan. Beliau kena betulkan keadaan. Saya bukan nak menyebelahi mana-mana pihak tapi ia berhubung isu asas iaitu integriti dan tatakelola,” ujarnya.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button