Pekerja kilang beras maut digilis lori
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki warga emas maut dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya pecah digilis sebuah lori selepas terjatuh dari motosikal yang dia tunggang di Jalan Gurun-Jeniang di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi tadi berlaku semasa mangsa Kong Swee Ling, 69, dalam perjalanan dari rumahnya di Gurun ke tempat kerjanya di sebuah kilang beras di Jalan Jeniang.
” Mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM BX110 dikatakan berhenti bersebelahan lori jenis Hino dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun ketika lampu isyarat di Simpang Empat Batu 2 bertukar merah.
“Semasa lampu isyarat bertukar hijau dan mangsa memulakan perjalanan, dia dikatakan tidak dapat mengawal motosikalnya menyebabkan bergesel dengan lori terbabit dan terjatuh ke atas jalan,” katanya.
Menurut Wan Azharuddin, disebabkan mangsa ketika itu berada pada titik buta sebelah kiri, pemandu lori berkenaan tidak menyedari mangsa terjatuh sebelum menggilisnya.
“Mangsa parah di kepala meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian. Mayat mangsa dibawa untuk bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani sejurus kejadian.
“Pemandu lori berkenaan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik,Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan laporan awal keputusan saringan air kencingnya negatif,” katanya.
Kata Wan Azharuddin, pihaknya masih meneruskan siasatan untuk melengkapkan kes dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber – KOSMO! ONLINE