Remaja maut diserang buaya ketika berenang

Oleh – Syeikh Baran


Remaja maut diserang buaya ketika berenang
Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari Australia maut selepas diserang oleh seekor buaya gergasi di Selat Torres. – GETTY IMAGES

Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari Australia maut selepas diserang oleh seekor buaya gergasi di Selat Torres, kata pihak berkuasa seperti dilaporkan stesen penyiaran FoxNews semalam.

Insiden berlaku pada pagi Khamis lalu di perairan Pulau Saibai. Ia merupakan sebuah pulau terpencil dengan hanya 500 penduduk dan terletak sekitar 901.2 kilometer di utara bandar Cairns. 



Menurut akhbar Brisbane Times, mangsa dilaporkan sedang berenang bersama seorang rakannya berusia 13 tahun selepas enjin bot dinaiki mereka berhenti berfungsi.

Mereka sebelum itu memutuskan untuk berenang di perairan menuju ke pantai sebelum salah seorang daripadanya diserang reptilia berkenaan.

Polis Queensland, Greg Giles memberitahu wartawan bahawa mangsa hilang selepas berada di kawasan air paras pinggang, manakala kerosakan bot berlaku sekitar satu pertiga kilometer dari darat.

“Kecederaan yang dialami adalah konsisten dengan buaya gergasi sekitar saiz 3.5 meter, mungkin lebih besar sedikit,” jelas pegawai hidupan liar, Simon Booth.



Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar, Sains dan Inovasi dalam satu kenyataan berkata: “Pegawai hidupan liar akan meninjau perairan Pulau Saibai dengan helikopter petang ini (semalam) untuk mengesan buaya terbabit.” – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button