‘Kertas siasatan Hafizul akan dirujuk kepada TPR minggu ini’
Oleh – Syeikh Baran
Polis mengesahkan tindakan menyambung reman lima hari lagi terhadap suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, pada 14 April lalu, dibuat untuk melengkapkan siasatan bagi membolehkan kes itu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada minggu ini.
“Ya, suspek sudah disambung reman lima hari lagi pada pagi tadi bagi membantu polis melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada TPR dalam tempoh reman ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri dari Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini membenarkan sambungan reman terhadap Hafizul Hawari, 38, bermula hari ini hingga Sabtu, bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Dalam kejadian jam 1.20 pagi 14 April lalu, dua das tembakan dilepaskan suspek di balai ketibaan di aras tiga KLIA.
Suspek dipercayai cuba menembak isterinya dengan menggunakan sepucuk pistol ketika wanita itu menunggu jemaah umrah pulang dari Tanah Suci di Balai Ketibaan Antarabangsa bersama dua pengawal peribadi.
Bagaimanapun, satu das tembakan itu mengenai pengawal peribadi isteri suspek dan suspek berjaya ditahan di Jalan Bayam, di Kota Bharu selepas 36 jam melarikan diri.
Sumber – HARIAN METRO