Kes amang seksual PU Azman, saksi remaja beri keterangan hampir 2 jam

Oleh – Syeikh Baran


Kes amang seksual PU Azman, saksi remaja beri keterangan hampir 2 jam
PU Azman (kanan) berbaju Melayu berwarna coklat ketika hadir ke Mahkamah Seksyen Seremban pada Isnin.

Remaja lelaki berusia 18 tahun yang merupakan saksi ke-11 kes amang seksual fizikal melibatkan Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias dipanggil sekali lagi untuk memberi keterangan di Mahkamah Seksyen di sini pada Isnin.

Remaja terbabit memberi keterangan hampir dua jam di hadapan Hakim, Datin Surita Budin pada prosiding yang dijalankan secara tertutup bermula jam 2.30 petang.



Kali pertama remaja itu dipanggil pada prosiding yang berlangsung Disember tahun lalu.

Sementara itu, Azman yang juga dikenali sebagai Cik Man tiba di mahkamah ditemani barisan peguamnya kira-kira jam 1.50 petang.

Dia kelihatan tenang seperti biasa dan turut mengucapkan selamat hari raya dan maaf zahir batin kepada media.

Azman yang berbaju Melayu berwarna coklat sempat berseloroh yang sambutan Aidilfitrinya meriah seperti biasa, cumanya tiada ‘kerepek bawang’



“Saya sambut raya di Perak bersama saudara-mara di sana dan sekarang baru nak balik ke rumah keluarga di Rantau, Seremban,” katanya.

Dalam pada itu ditanya pemberita kenapa menutup ruang komen di laman Instagramnya (IG), dia memberitahu sengaja berbuat demikian.

“Saya saja tutup komen di IG kerana lebih selesa.

“Sebelum ini pun saya pernah tutup juga dan kemudiannya buka balik. Ia bukan kerana tekanan,” katanya.



Prosiding perbicaraan bersambung pada Selasa (23 April), 24 dan 26 April.

Kali terakhir penceramah selebriti itu hadir untuk prosiding perbicaraan di Seremban pada 15 Julai lalu.

Azman menghadapi 12 pertuduhan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, empat kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang, satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang serta dua kes di Mahkamah Shah Alam.

Kali pertama beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 Oktober 2022 atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.



Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 16 dan 17 tahun itu dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai, Negeri Sembilan pada 6 Julai 2022.

Dia kemudian dituduh di Mahkamah Sesyen Ampang pada 21 Disember tahun lalu kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun di sebuah bilik resort di Hulu Langat, pada waktu tengah hari 22 Julai tahun lalu.

Beliau turut berdepan empat lagi pertuduhan di dua mahkamah lain berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang lagi remaja.



Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button