Pemimpin, ahli UMNO jangan leka hingga alpa agenda utama parti – Zahid
Oleh – Syeikh Baran
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO supaya tidak alpa sehingga mengabaikan agenda utama dalam memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
Presiden UMNO berkata, kelekaan merebut ‘ghanimah’ atau ‘hadiah harta rampasan perang’ perlu dihindari dalam memastikan parti itu berada di landasan yang betul, khususnya sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, 11 Mei depan.
“Pesan saya jangan bertelagah, banyakkan bermuhasabah dan berunding dengan penuh hikmah.
“Hargai nikmat berkerajaan yang Allah SWT berikan dan jangan leka berebut ‘ghanimah’ sehingga kita lupa agenda utama adalah memastikan kestabilan, supaya negara makin sejahtera dan rakyat beroleh kemakmuran yang melimpah ruah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, malam tadi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata komitmen pimpinan dan ahli akar umbi perlu diperkukuh bagi memastikan perpaduan dan memperkasa kesatuan dalaman parti.
“Memandangkan kita bakal menghadapi PRK Kuala Kubu Bharu berikutan pemergian mendiang Lee Kee Hiong, fokus dan tekad kita kini adalah untuk terus memastikan kemenangan siapa jua calon Kerajaan Perpaduan yang akan diumumkan nanti.
“Ini bagi memastikan aspirasi Malaysia Madani dapat terus diperhebatkan dan kerjasama yang terbina ini terus berkekalan. Adat berkawan biarlah ada keikhlasan. Adat bekerjasama biarlah ada kesungguhan,” katanya.
Beliau yang turut menyempurnakan Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Hulu Selangor dan Jamuan Hari Raya Aidilfiri Kuala Kubu Bharu, semalam, teruja dengan semangat ditunjukkan kepimpinan dan ahli parti itu dalam memastikan persidangan terbabit, sebagai medan terbaik memperkukuh kedudukan UMNO.
Sumber – BERITA HARIAN