Haram sebar gambar, video aib si mati

Oleh – Syeikh Baran


Haram sebar gambar, video aib si mati
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad

Perbuatan menyebarkan gambar atau video mayat nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, adalah haram di sisi Islam.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, hal itu kerana perbuatan tersebut boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti atau menggores hati keluarga serta waris sekali gus mengundang dosa.



Apatah lagi katanya, jika keadaan mayat tersebut yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh daripada badan kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan boleh menjatuhkan kehormatan si mati.

“Islam mengutamakan penghormatan pada jenazah yang sama seperti mana semasa dia hidup.

“Kalau masa hidup tidak boleh mengaibkan, maka selepas mati pun tak boleh aibkan dan hukumnya adalah haram, jadi jangan sebarkan gambar atau videonya,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jalinan Ukhuwah Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), di Lundang di sini, pada Rabu.

Turut hadir, Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan isteri, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Puan Sri Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.



Justeru, Mohamad Shukri berkata, perbuatan menyebarkan gambar mayat perlu dihentikan kerana bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam.

Beliau turut memberi contoh seorang jurumandi mayat yang tidak boleh menceritakan apa-apa keaiban dilihat ketika kerja-kerja memandikan jenazah.

“Mandi jenazah itu pun ada kod etikanya dan dalam situasi sekarang, kita perlu menjaga emosi keluarga kerana apa-apa saja yang boleh menimbulkan ataupun menggores hati orang lain adalah satu kesalahan walaupun hanya melalui perkataan, apatah lagi perbuatan.

“Jika ada yang ternampak video atau gambar seumpamanya, jangan kita pula mengedar-edarkannya kerana yang mengedar pun akan turut berdosa,” katanya.



Media sebelum ini melaporkan, 10 individu maut dalam kemalangan yang membabitkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec (M502-6) pada jam 9.30 pagi Selasa ketika melakukan Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM Ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung kejadian itu.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button