Majoriti setuju tidak benar remaja bawah 13 tahun buka akaun media sosial

Oleh – Syeikh Baran


Majoriti setuju tidak benar remaja bawah 13 tahun buka akaun media sosial
Gambar Hiasan

Majoriti pembaca Harian Metro yang menyertai tinjauan di saluran WhatsApp bersetuju bahawa remaja berusia bawah 13 tahun tidak dibenarkan membuka akaun media sosial.

Setakat 12.40 tengah hari tadi, hasil tinjauan mendedahkan 97 peratus daripada lebih 18,400 individu menyatakan pendirian bersetuju dengan larangan itu.



Pada masa sama, hanya tiga peratus mewakili 566 orang tidak bersetuju dengan perkara itu.

Ahad lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengingatkan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka berusia bawah 13 tahun tidak memiliki sebarang akaun media sosial.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, SKMM mendapati kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial.

Katanya, kebanyakan syarat platform media sosial juga tidak membenarkan golongan terbabit memiliki akaun media sosial.



Perkara itu turut mendapat sokongan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) yang menggalakkan ibu bapa menyedari risiko dan bahaya yang wujud dalam media sosial terutama terhadap kanak-kanak.

CMCF turut menyarankan ibu bapa dan penjaga memastikan kanak-kanak hanya diberi akses kepada peranti serta kandungan dalam Internet dengan pengawasan dan pemantauan sewajarnya.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button