Dua ahli ‘Geng Bean’ aktif curi motosikal tumpas

Oleh – Syeikh Baran


Dua ahli ‘Geng Bean’ aktif curi motosikal tumpas
Habibi (dua dari kanan) menunjukkan motosikal yang sudah dileraikan selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, hari ini.

Polis menumpaskan ‘Geng Bean’ yang aktif mencuri motosikal dengan penahanan dua lelaki dalam serbuan berasingan sekitar ibu kota dan Seremban, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Habibi Majinji berkata, serbuan pertama di Keramat, di sini, membawa penahanan lelaki berusia 33 tahun bersama rampasan empat motosikal sekitar pukul 11.30 pagi.



Katanya, suspek pertama telah memandu arah ke sebuah bengkel motorsikal di Kampung Kayu Ara, Seremban, Negeri Sembilan, sekitar pukul 3 petang.

“Suspek menunjukkan lokasi rakannya berusia 35 tahun yang merupakan pemilik dan mekanik di bengkel tersebut.

“Pemeriksaan di bengkel membawa rampasan sebanyak sepuluh motosikal pelbagai jenama dan enam bongkah enjin motorsikal serta satu alat pencanai.

“Hasil siasatan mendapati sindiket aktif sejak dua tahun lalu dan modus operandi mereka akan mencuri motosikal di Kuala Lumpur sebelum bawa ke bengkel di Seremban untuk dileraikan dan dijual,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.



Menurut Habibi, dengan tertangkapnya suspek, sebanyak 20 kes kecurian kenderaan motosikal telah diselesaikan.

Kata beliau, polis juga masih meneruskan siasatan dan risikan bagi mengesan dua lagi baki ahli kumpulan yang aktif melakukan jenayah curi motosikal di sekitar ibu kota.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek kes ini menjual komponen motosikal dicuri kepada kumpulan pelumba haram atau pihak yang lain.

“Hasil keseluruhan kes melibatkan sembilan di Kuala Lumpur dan satu kes Pahang, baki 10 kes masih dalam siasatan,” katanya.



Tambahnya, kesemua suspek direman selama lima hari sehingga esok ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button