3 sindiket kosmetik tanpa notifikasi KKM ditahan
Oleh – Syeikh Baran
Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan satu sindiket penjualan produk kosmetik dan kecantikan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu Operasi Khas di Setapak, Kuala Lumpur dan Ampang, Selangor pada Khamis lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusuh berkata, operasi bermula pukul 12.15 tengah hari itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Pegawai Penguatkuasa (Farmasi), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
“Berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama tiga minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke tiga buah premis dan menahan dalang utama iaitu seorang wanita warga Indonesia berusia 50an.
“Seterusnya, kita menahan seorang lelaki dan seorang wanita Indonesia, berusia 25 dan 35 tahun yang dipercayai berperanan sebagai ‘promoter online’ produk kosmetik dan kecantikan”, katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, semakan awal mendapati, dalang utama memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sahlaku, promoter wanita tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah, manakala suspek lelaki didapati tinggal lebih masa.
Sehubungan itu, pihaknya merampas produk kosmetik dan kecantikan pelbagai jenama, dua naskah pasport Indonesia serta wang tunai sebanyak RM3,263 dan IDR3.271 juta.
“Modus operandi sindiket adalah membawa masuk produk kosmetik dan kecantikan secara haram untuk dijual kepada pelanggan secara dalam talian melalui ejen dengan harga RM159 setiap satu.
“Sindiket ini menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan produk kosmetik dan kecantikan serta dipercayai telah beroperasi selama enam bulan,” jelasnya.
Kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Semenyih.
“Mereka juga akan disiasat oleh pihak KKM kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Seorang lelaki tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” tambahnya.
Tegasnya, JIM bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Sumber – KOSMO! ONLINE