Penjawat awam antara 30 dicekup berpesta dadah

Oleh – Syeikh Baran


Penjawat awam antara 30 dicekup berpesta dadah
KUMAR bercakap pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK), Johor Bahru. – Foto oleh BAZLAN IBRAHIM / KOSMO!

Seramai 11 penjawat awam antara 30 individu yang positif dadah dicekup polis ketika sedang leka berhibur di sebuah pusat hiburan di Batu Pahat, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan Ops Hibur yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor pada pukul 1 pagi menyerbu sebuah pusat hiburan yang beroperasi lebih masa.



Katanya, hasil daripada serbuan itu, pihak polis telah membuat pemeriksaan terhadap 49 individu yang sedang berhibur di dalam premis tersebut.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati seramai 30 orang yang terdiri daripada 24 lelaki dan enam wanita positif dadah.

“Daripada jumlah itu, ia melibatkan 11 penjawat awam serta seorang remaja lelaki bawah umur yang didapati positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan benzodiazepine,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kumar berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 17 hingga 52 tahun, manakala penjawat awam yang ditahan berusia lingkungan 24 hingga 49 tahun.



Katanya, dalam operasi sama polis turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis yang juga didapati positif dadah.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut menjalankan perniagaan melebihi had masa yang ditetapkan. Pemeriksaan juga mendapati premis tersebut mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan yang sah.

“Kesemua yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret bagi tujuan permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63, Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor 4/98 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button