Waspada ejen nikah Siam
Oleh – Syeikh Baran
Konsulat Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menasihat rakyat Malaysia yang ingin berkahwin di Selatan Thailand supaya waspada dalam pemilihan ejen.
Beliau berkata, langkah tersebut bagi mengelakkan mereka ditipu oleh pengendali perkhidmatan tersebut.
“Sebelum ini, saya menerima berita ada dalam kalangan individu yang terlibat pernah ditinggalkan di tepi jalan gara-gara tidak bersetuju dengan pakej disediakan.
“Pada masa sama, ada yang menjanjikan semua dokumen akan siap dalam tempoh sehari sebaliknya tidak. Hal ini kerana dokumentasi mengambil masa sehari, biasanya akan siap keesokannya,” katanya semasa ditemui pada Festival Asia 2024 yang diadakan di Asean Mall Pattani di sini.
Menurut beliau, sikap waspada itu bertujuan mengelakkan pasangan terlibat berdepan dengan masalah di kemudian hari.
Ujarnya, kebanyakan perkahwinan ini berlangsung di Songkhla, Narahitwat, Pattani dan Yala.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Fahmi berkata, seramai 700 pasangan dari Malaysia telah bernikah di Selatan Thailand sepanjang tempoh tiga bulan tahun ini bermula Januari hingga Mac.
Beliau berkata, jumlah tersebut berpandukan kepada pasangan yang tampil membuat pengesahan dokumen pernikahan.
“Namun bagi mereka yang tidak membuat pengesahan, kita tidak tahu.
“Kita percaya ramai yang tidak tampil membuat pengesahan sekali gus menyukarkan pasangan berkenaan untuk mendaftarkan perkahwinan di Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya akan membuat semakan sama ada pasangan berkenaan berkahwin dengan jurunikah bertauliah atau sebaliknya sebaik sahaja pengesahan dokumen yang dibuat di pejabat konsulat.
Ujarnya, setakat ini pasangan yang berkahwin di Selatan Thailand mendapatkan khidmat jurunikah yang bertauliah.
Ahmad Fahmi memberitahu, pihaknya khuatir mereka yang tidak membuat pengesahan dinikahkan dengan jurunikah yang tidak bertauliah, sebaliknya yang disediakan ejen tertentu.
“Justeru, kita nasihatkan kepada mana-mana pasangan dari Malaysia yang mahu berkahwin di Selatan Thailand supaya tidak tertipu dengan ejen-ejen nikah yang menawarkan pelbagai pakej, namun akhirnya dinikahkan dengan jurunikah tidak bertauliah,” katanya.
Sumber – SINAR HARIAN