Tiada kes pedofilia, gangguan seksual libatkan guru MRSM Tumpat

Oleh – Syeikh Baran


Tiada kes pedofilia, gangguan seksual libatkan guru MRSM Tumpat
Muhamad Zaki (tengah) bercakap pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

Polis Kelantan mengesahkan tiada kes pedofilia dan gangguan seksual melibatkan seorang guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat seperti yang didakwa sebelum ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati, tiada sebarang bukti yang menunjukkan berlakunya kejadian tersebut di sekolah berkenaan.



“Siasatan selesai selepas kenyataan daripada kedua-dua pihak diambil. Tiada bukti menunjukkan berlakunya gangguan seksual dan pedofilia terhadap mangsa yang kini berusia 24 tahun.

“Guru yang didakwa melakukan perbuatan itu juga mempunyai sikap dan kriteria yang baik. Tetapi, kita tetap menunggu laporan perubatan yang dilakukan ke atas wanita berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, polis ketika ini membuka siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkait dengan satu hantaran yang dibuat menerusi laman sosial.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seramai 14 individu termasuk guru dan pelajar sudah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kes pedofilia yang membabitkan seorang guru di MRSM Tumpat dekat sini bulan lalu.



Muhamad Zaki berkata, pihaknya sudah mengenal pasti penulis yang membuat hantaran di media sosial Instagram dan Facebook mengenai kes pedofilia yang membabitkan guru berkenaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button