600 unit Chery Omoda 5 dipanggil semula

Oleh – Syeikh Baran


600 unit Chery Omoda 5 dipanggil semula
Chery Omoda 5.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menetapkan agar 600 unit kenderaan model jenis Omoda 5 keluaran Chery yang disyaki terlibat isu kegagalan gandar dilaksanakan proses pemanggilan semula berkuat kuasa hari ini.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, proses pemanggilan semula itu dibuat demi memastikan keselamatan pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya yang lain terjamin.



“Susulan insiden tular berkenaan kegagalan gandar kenderaan model Omoda 5 buatan Chery, JPJ telah memanggil Syarikat Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd. bagi menyiasat dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu.

“Pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak syarikat bagi menempah slot pemeriksaan masing-masing atau pemilik kenderaan boleh ‘walk-in’ ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara,” katanya di sini tadi.

Jelas JPJ, mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan semua kos yang ditanggung oleh pihak Syarikat Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd.

“JPJ akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula itu dan komited memastikan kesemua unit terlibat dibuat pemeriksaan dan disahkan selamat serta proses penggantian komponen gandar dilaksanakan bagi kenderaan terkesan.



“Semua pemilik kenderaan model Omoda 5 dimohon untuk membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula atau pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya.

Jelasnya, sebarang maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula itu, pemilik kenderaan boleh menghubungi Chery Malaysia Customer Careline di talian 03-2771 7070.

Mereka juga boleh melayari laman sesawang www.chery.my atau menghubungi pusat jualan dan perkhidmatan Chery Auto Malaysia yang berdekatan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button