Dua penyamun gagal larikan AS$50,000 ketika pertukaran wang

Oleh – Syeikh Baran


Dua penyamun gagal larikan AS$50,000 ketika pertukaran wang
Beg berisi wang tunai yang cuba dilarikan dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Jalan Memanda, Ampang Jaya, Isnin lalu.

Dua lelaki ditahan selepas cuba melarikan wang tunai berjumlah AS$50,000 (kira-kira RM236,000) dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Jalan Memanda, di sini, pada Isnin lalu.

Ketika kejadian, salah seorang suspek berjaya diberkas hasil bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian.



Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 39 tahun pada pukul 9 malam hari kejadian.

Katanya, suspek secara tiba-tiba merampas beg berisi wang dan menumbuk mangsa lalu melarikan diri untuk menaiki sebuah kereta yang sedang menunggunya.

“Suspek bagaimanapun diberkas orang awam yang berada di lokasi sebelum mereka mendapatkan bantuan polis.

“Polis kemudian menahan suspek warga asing berusia 32 tahun itu untuk siasatan lanjut,”katanya dalam kenyataan hari ini.



Rentetan itu, Mohd Azam memaklumkan, hasil siasatan membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki berusia 65 tahun di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam yang disyaki terbabit jenayah sama.

“Dua individu ini dipercayai menggunakan modus operandi menjanjikan imbuhan tinggi bagi pertukaran wang asing sebelum menyamun mangsa.

“Semakan mendapati suspek kedua itu mempunyai empat rekod jenayah lampau.” katanya.

Menurutnya, suspek pertama direman tujuh hari manakala suspek kedua direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.



Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button