Lelaki menyamar pegawai kerajaan minta suap

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki menyamar pegawai kerajaan minta suap
Suspek ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen George Town, pagi tadi.

Seorang lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyamar sebagai pegawai kerajaan di sebuah kementerian dan meminta serta menerima suapan dalam membantu mengubah laporan kimia.

Menurut sumber, penahanan ke atas suspek yang bekerja sendiri itu dilakukan semasa dia hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang, kira-kira pukul 11 malam tadi.



Sumber berkata, lelaki berusia 30-an itu telah meminta wang rasuah kira-kira RM8,000 daripada seorang wanita sebagai balasan bagi membantu mengubah laporan kimia membabitkan kes dadah suami individu terbabit.

“Suspek memaklumkan akan membantu mengubah laporan kimia bagi membolehkan suami wanita itu yang kini ditahan reman atas kes dadah dapat dibebaskan.

“Wanita itu yang percaya dengan kata-kata suspek kemudian telah menyerahkan wang rasuah kira-kira RM6,000 kepadanya,” katanya di sini, hari ini.

Menurut sumber lagi, reman terhadap suspek adalah selama tujuh hari sehingga 17 Mei ini yang dikeluarkan Majistret Syahirah Abdul Salim di Mahkamah George Town, pagi tadi.



Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri, Mohd. Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button