Ajaran Ahmadiah difatwa sesat – Mufti

Oleh – Syeikh Baran


Ajaran Ahmadiah difatwa sesat – Mufti
Kenyataan yang dikeluarkan jabatan mufti baru-baru ini.

Usaha membanteras ajaran sesat Ahmadiah yang cuba dihidupkan kembali menerusi media sosial memerlukan kerjasama semua pihak agar kesucian agama Islam di negara ini sentiasa terpelihara.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, ajaran Ahmadiah itu cuba dihidupkan walaupun telah sekian lama difatwakan sesat oleh pihak-pihak berkuasa agama Islam di peringkat persekutuan dan negeri-negeri.



“Selaku Mufti Pulau Pinang saya menyokong arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) agar semua jabatan dan agensi Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sendiri, Majlis Agama Islam Negeri agar bergabung tenaga untuk membanteras ajaran sesat ini dan ajaran-ajaran lain sepertinya.

“Kita juga mengharapkan kerjasama agensi kerajaan lain terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (MCMC) turut serta memainkan peranan bagi memastikan ajaran ini tidak tersebar dalam masyarakat Islam Malaysia,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai akaun TikTok dipercayai milik bishop atau ketua ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace yang mempunyai lebih 30,000 pengikut dan mendapat sambutan apabila pemilik akaun itu menggunakan aplikasi TikTok live atau siaran langsung.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace adalah bertentangan dengan syariat Islam.



Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, di Pulau Pinang ajaran Qadiani atau Ahmadiah telah diputuskan sebagai sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, bilangan 2/2017 dan telah diwartakan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button