Masalah disiplin remaja cabaran utama para ibu
Oleh – Syeikh Baran
Masalah disiplin remaja, pendidikan dan kos sara hidup merupakan cabaran utama yang dihadapi oleh para ibu pada hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu dikesan menerusi Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-15) yang telah dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
“LPPKN telah menjalankan kajian KPKM-15 dan mendapati masalah disiplin remaja menjadi cabaran utama para ibu.
“Ia diikuti dengan pendidikan dan perbelanjaan keluarga,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2024 yang bertemakan ‘Terima Kasih Ibu’ di Pusat Keluarga LPPKN Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan program berkenaan yang juga dihadiri oleh isteri Yang Dipertua Negeri Melaka, Toh Puan Asmah Ab. Rahman.
Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyampaikan Anugerah Inspirasi Ibu kepada Rahamah Mohtar, 61, dari Kapar, Selangor atas kecekalannya membesarkan anak menghidap cerebral palsy selama 21 tahun.
Dalam pada itu, Nancy turut memberitahu, Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) menunjukkan skor Indikator Kualiti Masa Bersama Keluarga dan Indikator Imbangan Masa Kerja-Keluarga merosot dalam siri IKK 2022 berbanding 2019.
“Rata-rata golongan ibu bekerja banyak menghabiskan masa dengan rutin harian yang padat. Mereka perlu bangun awal pagi bagi menguruskan anak dan keluarga, keluar bekerja dengan purata masa lapan hingga 10 jam sehari sebelum menyambung tugasan sebagai isteri serta ibu di rumah.
“Kita harus sedar, tanggungjawab membesarkan anak-anak dan menguruskan rumah bukanlah semata-mata tugas ibu sahaja, oleh itu adalah penting bagi suami untuk memahami dan menghargai sumbangan isteri serta berkongsi tanggungjawab itu,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE