Tukang kayu maut dirempuh Toyota Hilux
Oleh – Syeikh Baran
Seorang tukang kayu maut apabila motosikal yang dia tunggang dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Ketemba, Tawar, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.27 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohamad Zaronizam Abu Hasan, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR datang dari arah rumahnya di Kuala Ketil menghala ke tempat kerja di Kupang.
Katanya, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux itu pula datang dari arah bertentangan iaitu dari arah Kelantan menghala ke Pulau Pinang.
“Kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian hadapan motosikal mangsa.
“Rempuhan kuat mengakibatkan mangsa melambung dan terkena tiang Telekom Malaysia di bahu jalan sebelah kiri. Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.