Lelaki hilang disambar buaya ketika menangkap ikan
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki hilang selepas disambar buaya ketika sedang menangkap ikan di tebing Sungai Semeruang, Bangkong, Pantu di sini.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, Muhammad Adam Amran berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian oleh IPD Sri Aman kira-kira pukul 5 petang semalam.
“Semasa sedang menangkap ikan di tebing Sungai Semeruang, tiba-tiba mangsa telah disambar buaya.
“Jarak lokasi kejadian dari rumah panjang dianggarkan mengambil masa 40 minit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa dikenali sebagai Lawrence Adi Raynold berusia 32 tahun.
Justeru, katanya operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dimulakan pada pukul 9 pagi tadi melibatkan pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.
Menjelas lanjut, Muhammad Adam berkata, pencarian dilakukan di kawasan sungai menggunakan bot.
Sumber – KOSMO! ONLINE