‘Pati sagu Sarawak menyamai rasa nasi’ – penyelidikan saintis
Oleh – Syeikh Baran
Penyelidikan sedang dilaksanakan bagi membolehkan rakyat Sarawak tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada beras, sebagai sumber karbohidrat harian mereka.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, berkata penyelidikan kini sedang giat dijalankan oleh CRAUN Research Sdn Bhd, yang melihat sagu berpotensi untuk menggantikan beras.
Beliau berkata, hasil penyelidikan awal oleh saintis syarikat milik kerajaan Sarawak itu sejak tahun lalu mendapati pati sagu hampir menyamai rasa nasi.
“Penyelidikan yang dijalankan itu akan memberi peluang kepada kita untuk menangani keselamatan makanan selain mencari sumber karbohidrat lain bagi menggantikan beras.
“Usaha oleh CRAUN Research Sdn Bhd itu juga akan mempelbagaikan produk sagu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurutnya lagi, penyelidikan lanjut masih dijalankan oleh CRAUN Research Sdn Bhd untuk menilai potensi sebenar sagu sebagai sumber karbohidrat utama pada masa depan.
Penanaman sagu di Sarawak bermula sejak awal 1880-an dan kini menjadi antara komoditi perdagangan pertanian utama Sarawak.
Industri sagu di Sarawak ketika ini didominasi sektor pekebun kecil yang menyumbang 92 peratus daripada jumlah anggaran kawasan tanaman seluas 32,329 hektar.
Sarawak adalah pengeksport terbesar tepung sagu dunia dan pada tahun 2020 dengan sejumlah 37,884 tan kanji sagu bernilai RM78.29 juta dieksport ke Semenanjung Malaysia dan Jepun masing-masing sebanyak 51.27 peratus dan 35.47 peratus jumlah isi padu eksport.
Kawasan utama sagu adalah di bahagian Mukah, Betong dan Sarikei dengan pekebun kecil sagu masih bergantung kepada pendekatan penanaman tradisional.
Sumber – BERITA HARIAN