Ubah suai maklumat tarikh luput pasport, warga asing ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Ubah suai maklumat tarikh luput pasport, warga asing ditahan
Ruslin menunjukkan perbandingan pasport asli dan palsu pada sidang akhbar sindiket pemalsuan dokumen di Putrajaya, hari ini. – Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

Sindiket pemalsuan dokumen dengan menggunakan taktik mengubah suai maklumat tarikh luput pada pasport ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Jumaat lepas.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sindiket berkenaan tumpas selepas pihaknya menjalankan serbuan melibatkan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM ke atas sebuah premis kediamaan di Kajang, Selangor kira-kira pukul 4.14 petang.



Katanya, melalui aduan dan risikan selama tiga minggu itu pasukannya berjaya menahan seorang warga Bangladesh dikenali sebagai ‘Ofu Bhai’ berusia 38 tahun dipercayai sebagai dalang utama.

“Selain itu, JIM turut menahan seorang wanita warganegara Filipina berusia lingkungan 40 tahun dipercayai orang kanan kepada dalang utama.

“Hasil semakan awal mendapati lelaki berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini, manakala wanita berkenaan telah tinggal lebih masa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pada serbuan berkenaan pihaknya berjaya merampas satu set komputer, pasport 211 terdiri daripada 199 pasport Bangladesh, India (empat) Filipina (tiga), Myanmar (tiga) dan Indonesia (dua).



“Selain itu, kita turut merampas 31 helaian muka depan biodata pasport, 144 keping dokumen Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema), pelbagai peralatan untuk membuat dokumen palsu dan wang tunai sebanyak RM16,000,” ujarnya.

Jelasnya, modus operandi sindiket yang dipercayai telah beroperasi selama dua tahun itu, adalah menawarkan perkhidmatan menyediakan pasport kepada warganegara asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan.

“Sindiket ini menggunakan pasport tulen yang telah tamat tempoh dengan meminda maklumat pada biodata serta keseluruhan dalaman pasport dengan harga RM1,000 hingga RM1,500 untuk setiap naskhah pasport.

“Sindiket ini juga menggunakan maklumat palsu pada pasport untuk mendapatkan kelulusan Fomema dengan harga RM600 hingga RM1,000 untuk setiap dokumen,” katanya.



Beliau berkata, pihaknya masih memburu rangkaian yang berkait dengan sindiket berkenaan.

Ruslin berkata, kedua-dua suspek direman selama 14 hari di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya dan kes disiasat di bawah Seksyen 55D, Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button