Perbicaraan kes DSP bunuh pelajar bermula November
Oleh – Syeikh Baran
Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan 30 hari bermula November ini untuk perbicaraan pertuduhan terhadap Mohd Nazri Abdul Razak, 45, pegawai kanan polis yang dituduh menyebabkan kematian ke atas seorang pelajar lelaki, Disember lalu.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet ketika sebutan kes pada Selasa yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dan Peguam Jacky Loi Yap Loong yang mewakili tertuduh.
Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 4 hingga 8 dan 11 hingga 15 November, 2 hingga 6 dan 9 hingga 13 Disember serta 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Januari tahun depan.
Hakim Bhupindar Singh turut menetapkan 1 Julai depan sebagai sebutan semula kes untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan afidavit masing-masing.
Dalam prosiding itu, Mohd Nazri membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh antara jam 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.
Pertuduhan ke atas pegawai berpangkat Deputi Superintenden (DSP) dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara minimum 30 tahun hingga 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
Afzainizam yang ditemui pemberita selepas prosiding berkata, pihak pendakwaan memerlukan tempoh masa sekurang-kurangnya sebulan untuk memuktamadkan senarai saksi perbicaraan.
“Dalam kes ini pihak pendakwaan akan melibatkan lebih kurang 60 saksi-saksi termasuk saksi pakar. Jumlah itu boleh jadi bertambah atau berkurang,” katanya.
Pendakwaan turut dikendalikan Saiful Akmal Mod Said dan Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala tertuduh juga diwakili Peguam Lim Chi Chau dan M Kuhan.
Turut hadir, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Yasmin Khalid dan Amira Najwafitri Amir Arif.
Ahli keluarga mangsa iaitu abang, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 30, dan bapa saudara, Abdul Razak Judin, 49, turut hadir bagi mengikuti prosiding mahkamah.
Dalam kejadian itu, Muhammad Zaharif Affendi yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.
Kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu melibatkan kereta jenis Perodua Ativa dipandu pegawai terbabit dengan motosikal jenis Yamaha ditunggangi mangsa.
Difahamkan sebelum kejadian, berlaku keadaan tidak puas hati membabitkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana membuat bising menggunakan motosikal.
Laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya.
Sumber – SINAR HARIAN