Imigresen gempur 27 lokasi tumpuan warga asing

Oleh – Syeikh Baran


Imigresen gempur 27 lokasi tumpuan warga asing
Sebahagian warga asing yang diperiksa dalam operasi Jabatan Imigresen Negeri Sembilan bersama JHEAINS di 27 lokasi sekitar Seremban, semalam. NSTP/Ihsan Jabatan Imigresen

Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Negeri Sembilan menahan 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menggempur 27 lokasi tumpuan warga asing di sekitar bandar ini selama dua hari sejak kelmarin.

Penahanan itu membabitkan 23 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia, enam lelaki warga Myanmar, 11 lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Pakistan dan dua lelaki, tiga wanita serta seorang kanak-kanak perempuan warga Vietnam.



Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang, berkata semua yang ditahan berusia antara setahun hingga 51 tahun.

Katanya, semua PATI itu ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 selepas pemeriksaan ke atas 200 individu dari pelbagai negara.

“Ketika operasi dijalankan di satu lokasi, kami terpaksa mengejar lima lelaki warga Indonesia yang melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan Imigresen.

“Bagaimanapun, semua mereka dapat ditahan sebelum dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.



Operasi membabitkan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) itu disertai seramai 19 anggota dan pegawai.

Ai Kiang berkata, sebanyak 12 borang saman saksi dikeluarkan kepada majikan/penjaga premis untuk hadir ke Imigresen Negeri Sembilan bagi membantu siasatan.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button