Yusof Haslam Dedah Isterinya Pernah Merajuk Hilang Sebulan
Kerana Fitnah Curang, Bertahun-Tahun Usaha Pujuk
Yusof Haslam Dedah Isterinya Pernah Merajuk Hilang Sebulan
Penerbit dan pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam, membuka lembaran kisah peribadi yang penuh emosi dengan mendedahkan krisis yang pernah melanda rumah tangganya bersama Datin Patimah Ismail.
Kisah ini, yang mencerminkan ujian dan kesetiaan dalam perkahwinan, telah dikongsi Yusof semasa majlis rumah terbuka dan sambutan ulang tahun ke-41 perkahwinan mereka di Darul Haslam, Taman Melawati, baru-baru ini.
Menurut Yusof, badai tersebut berpunca dari salah sangka dan fitnah yang mendakwa dirinya berlaku curang, menyebabkan Patimah merajuk dan menghilangkan diri selama hampir sebulan.
“Adalah peristiwa berlaku menyebabkan dia merajuk dan membawa diri ke sebuah sekolah pondok di Pokok Sena, Kedah bagi mendalami ilmu agama. Hampir sebulan isteri menghilangkan diri dan saya jadi buntu dan tak tahu di mana dia berada. Anak-anak pula masih bersekolah. Secara kebetulan, kami baru sahaja pindah ke banglo ini,” cerita Yusof dengan nada penuh emosi.
Yusof menambah, perasaan untuk mempertahankan rumah tangga semakin kuat apabila mengenang segala usaha dan penat lelah membina rumah tersebut, ditambah dengan terdengarnya lagu “Permata Untuk Isteri” dendangan Kopratasa yang mengembalikan kenangan manis bersama Patimah.
“Satu pagi selepas solat Subuh, saya duduk di balkoni. Ketika itu, saya terdengar lagu ‘Permata Untuk Isteri’ berkumandang di radio. Hati saya terusik dan air mata berjurai di pipi. Lagu ini amat menyentuh jiwa,” ungkap Yusof yang pernah mengarahkan filem popular seperti “Sembilu” dan “Sembilu 2”.
Dengan bantuan bapa mentuanya, Yusof berjaya menjejaki Patimah dan mengajaknya pulang ke pangkuan keluarga. Namun, proses memujuk bukanlah mudah dan memakan masa bertahun-tahun.
“Pada awalnya, isteri masih berkeras. Tapi Alhamdulillah, selepas saya meyakinkannya dengan mengatakan sekiranya saya melakukan dosa besar pasti Tuhan tidak akan menyelamatkan saya termasuk bersikap jujur dalam perhubungan jika nak rezeki sentiasa melimpah,” jelas Yusof.
Secara kebetulan, waktu itu filem “Gerak Khas The Movie” sedang dalam persiapan untuk tayangan di pawagam. Patimah, dalam nada sinis, menegur Yusof dengan mengatakan bahawa filem-filemnya biasanya mendapat sambutan dan ingin melihat sama ada filem ini akan berjaya atau tidak.
Ternyata, filem tersebut meraih kutipan pecah panggung, membuktikan keberhasilan usaha Yusof dan kesetiaan dalam perhubungan mereka.
“Jujurnya, proses memujuk memakan masa bertahun. Saya tidak salahkan isteri sebab sudah tentu dalam bidang hiburan terdedah dengan macam-macam gosip. Saya pula selalu berjumpa dengan artis dan isteri saya perlu kuat menghadapinya,” tambah Yusof.
Pada majlis sambutan ulang tahun perkahwinan mereka, pasangan ini memotong pulut kuning sebagai simbolik perayaan hari yang penuh bermakna.
Yusof Haslam Dedah Isterinya Pernah Merajuk Hilang Sebulan
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Elak Isu 3R Antara Inti Pati MoU, Bersetujukah Perikatan Nasional?
- Mungkin C4 Mahu Latheefa Koya Di Lantik Semula Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM
- Kenyataan Faizal Azumu Membuktikan PPBM Ketandusan Pemimpin
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Mahathir meroyan, orang Melayu tidak mahu undi Parti Proksinya di KKB.