Memasak di stesen minyak, polis buka kertas siasatan

Oleh – Syeikh Baran


Memasak di stesen minyak, polis buka kertas siasatan
Tindakan sekumpulan individu yang memasak di sebuah stesen minyak di Genting Highlands seperti dalam video yang tular beberapa hari lalu.

Polis membuka kertas siasatan mengenai tindakan sekumpulan individu yang memasak di sebuah stesen minyak di Genting Highlands seperti dalam video yang tular beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dalam kenyataan, hari ini berkata polis menerima aduan berhubung perkara itu jam 12.35 tengah hari ini di Balai Polis Bentong.



Katanya, laporan polis itu berdasarkan rakaman video yang tular yang mana tindakan memasak di stesen minyak itu menimbulkan kebimbangan dan kegusaran masyarakat kerana ia berbahaya.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati, rakaman video terbabit tular melalui satu laman sosial X (dahulu Twitter) dan telah dimuat naik pada 13 Mei lalu.

“Klip video berdurasi lebih kurang 50 saat itu memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan melakukan aktiviti memasak di kawasan stesen minyak berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu satu kesalahan menyebabkan kegusaran am kepada orang awam.



“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

“Kita mohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Zaiham berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas dan akan membuat operasi bersepadu di sekitar lokasi stesen minyak berkenaan khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.

“Ini kerana polis mendapat maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik-pemilik kenderaan berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam dan pengguna jalan raya lain yang melalui lokasi berkenaan,” katanya.



Rakaman video yang tular menunjukkan sekumpulan individu lelaki dan wanita melepak sambil memasak mi segera dengan menggunakan dapur gas mudah alih dan menjamu selera mengundang kemarahan netizen kerana ia berbahaya.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button