Bon pilihan raya India, pembangkang dakwa penipuan terbesar dunia

Oleh – Syeikh Baran


Bon pilihan raya India, pembangkang dakwa penipuan terbesar dunia
Perdana Menteri, Narendra Modi menerajui parti pemerintah, Bharatiya Janata Party (BJP) berucap pada perhimpunan di Mumbai pada 17 Mei 2024. – Foto AFP

Ketika proses pengundian memasuki tempoh dua pertiga menjelang pilihan raya terbesar dunia, pengundi dicengkam kontroversi mengenai pembiayaan politik di India.

Tujuh tahun lalu, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi memperkenalkan skim yang membolehkan orang ramai membeli bon pilihan raya dan mendermakannya kepada parti politik.



Penderma boleh berbuat demikian tanpa had serta tidak perlu mendedahkan nama mereka.

Bagaimanapun, awal tahun ini, Mahkamah Agung India mengisytiharkan amalan itu tidak mengikut perlembagaan dan mengarahkan nama individu dan syarikat yang telah membeli bon berkenaan didedahkan kepada umum.

Menurut maklumat yang dikeluarkan kepada orang ramai, BJP menerima sumbangan terbesar daripada bon berkenaan.

Portal berita CNA melaporkan keadaan itu mencetuskan tindak balas daripada pembangkang, yang menyifatkan skim itu sebagai “penipuan rasuah terbesar di dunia”.



Parti pembangkang utama, Kongres Kebangsaan India yang menduduki tempat ketiga dalam senarai penerima manfaat berkata, skim itu memberi kelebihan besar kepada BJP dalam pilihan raya.

Pandangannya dikongsi parti lain yang menentang BJP, termasuk Parti Komunis India (Marxist) atau CPIM – parti yang lebih kecil di Parlimen.

“Sejumlah besar wang yang dipindahkan dan (bon) antara satu daripadanya.

“Terdapat juga dana pilihan raya, dana PM Cares dan lain-lain. Sejumlah besar wang telah terkumpul dengan parti pemerintah merosakkan persaingan yang adil dalam sistem demokrasi,” kata pemimpin CPIM, Sitaram Yechury.



PM Cares ditubuhkan oleh Modi pada 2020 bagi memerangi pandemik COVID-19.

Ia kini menjadi kontroversi mengenai apa yang dikatakan pengkritik sebagai kekurangan ketelusan.

CPIM menjadi antara pengkritik terbesar bon pilihan raya sejak penubuhannya dan secara terbuka menyatakan bahawa parti itu tidak akan menerima sebarang sumbangan melalui skim itu.

Ia juga antara pempetisyen dalam kes yang mencabar kesahihan bon pilihan raya di Mahkamah Agung.



Walaupun skim itu sudah dibatalkan, pengkritik berkata BJP telah mendapat faedah kerana parti politik itu sudah menukar sebahagian besar dana yang didermakan.

Menurut anggaran Pusat Pengajian Media di New Delhi, yang memantau perbelanjaan politik, parti akan membelanjakan sejumlah AS$14.4 bilion untuk meraih undi dalam pilihan raya kali ini.

Pemerhati politik berkata wang yang diterima melalui skim bon pilihan raya telah membiayai sebahagian besar perbelanjaan itu, yang akan menjadi pilihan raya paling mahal di India.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button