Mesir tuntut Israel buka lintasan untuk kemasukan bantuan ke Gaza

Oleh – Syeikh Baran


Mesir tuntut Israel buka lintasan untuk kemasukan bantuan ke Gaza
Lintasan sempadan Kerem Shalom dari pusat pemeriksaan yang ditinggalkan, di tengah-tengah operasi ketenteraan di Rafah, selatan Gaza. – Foto REUTERS

Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry, semalam mendesak Israel membuka semua lintasan darat antara Israel dan Semenanjung Gaza untuk memastikan akses penuh, selamat dan tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan ke wilayah dilanda perang.

Desakan Shoukry itu disuarakan kepada Sigrid Kaag, Koordinator Kanan Kemanusiaan dan Pembinaan Semula Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Gaza menerusi panggilan telefon, kata Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan.



Diplomat tertinggi Mesir dan pegawai PBB menyentuh mengenai bahaya operasi ketenteraan Israel di Rafah, serta kawalan Israel ke atas bahagian Palestin di lintasan Rafah.

Mereka juga menekankan keperluan untuk memastikan keadaan selamat bagi bantuan kemanusiaan untuk memasuki lintasan Rafah dan menamatkan operasi ketenteraan di sekitarnya.

Shoukry menegaskan kepentingan Israel menghormati dan melindungi pekerja kemanusiaan, tidak menyasarkan ibu pejabat agensi bantuan antarabangsa, serta memastikan akses dan kebebasan pergerakan kru bantuan di Semenanjung Gaza.

Pada 7 Mei, tentera Israel memulakan operasi di Rafah dan mengambil alih kawalan operasi ke atas lintasan Rafah di Gaza.



Sejak itu, lintasan berkenaan disekat untuk pergerakan pengembara dan trak yang membawa bantuan kepada lebih dua juta rakyat Palestin di kawasan itu.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button