Pelajar UMT maut, tiga rakan parah kemalangan di LPT2

Oleh – Syeikh Baran


Pelajar UMT maut, tiga rakan parah kemalangan di LPT2
Kereta yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 314.5, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) yang mengorbankan seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu. Foto Rosli Ilham

Seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) maut manakala tiga rakannya parah selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 312.4 Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Kijal, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang, Muhamad Fathol Harris Muhamad Asri ,21, berasal dari Sungai Semambu Bagan Serai, Perak maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.



Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, tiga rakan mangsa yang parah ialah pemandu kereta, Ignatius Suren Santhanasamy, 21, juga dari Bagan Serai Perak, Noramirah Syahirah Abdullah, 21, Hulu Langat Selangor, dan Nur Farah Shakirah Mohd Hishamudin, 23, dari Dungun, Terengganu.

“Dua lagi rakan mangsa Nur Mazni Andri, 21, dari Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dan Azira Adriana Natasha Amirul Faris, 21, dari Batu Kurau, Perak hanya cedera ringan.

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Hanyan berkata, kereta Perodua Alza dipandu Ignatius Suren dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik menyebabkan semua mangsa tercampak keluar dari kenderaan dinaiki itu.



 

“Ketika kejadian, empat pelajar Sarjana Muda Fakulti Kaunseling dan seorang dari Fakulti Maritim dalam perjalanan dari Kuantan untuk pulang ke Kampus UMT.

“Semua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang selepas selesai menyertai kerja kursus di Rumah Perlindungan Jagaan dan Rawatan Casa Femina, Taman Tok Sira Kuantan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button