Siap siaga hadapi cabaran demi rakyat
Oleh – Syeikh Baran
Tanggungjawab dan cabaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bukan sekadar menyelamatkan mangsa kebakaran atau kemalangan, melindungi nyawa dan harta benda dari musibah dan bencana, menangkap haiwan berbisa, serta pelbagai perkhidmatan kemanusiaan yang lain.
Justeru, tahap kesiapsiagaan bomba perlu sentiasa berada di tahap yang maksimum dalam mengharungi setiap cabaran dan halangan mendatang.
Antaranya tanggungjawab Bahagian Udara yang ditubuhkan pada 11 September 1998 yang berkhidmat menangani insiden dan kecemasan di kawasan terpencil, sukar dilalui kenderaan biasa, sama ada di darat atau air.
Begitu juga peranan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) yang menangani insiden dan kecemasan yang berlaku di sungai, laut, lombong, tasik dan lain-lain.
Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) yang ditubuhkan pada 1992 susulan tragedi letupan kilang bunga api di Sungai Buloh pada tahun sama, berperanan menangani insiden dan kecemasan berkaitan bahan berbahaya.
Selain itu, Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), ditugaskan untuk misi menyelamat insiden besar atau bencana di dalam dan luar negara.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata semua tugasan dan cabaran dipikul JBPM memerlukan keupayaan, pengalaman, kemahiran serta semangat juang yang tinggi.
“Setiap anggota bomba yang berjaya dan terpilih dalam pasukan JBPM diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab berat dan penuh dugaan kerana kebanyakan tugasan dilakukan adalah berkaitan dengan pengorbanan,” katanya.
Beliau berkata, pada masa sama dalam melaksanakan segala jenis tugasan kebombaan dan keselamatan, aspek keselamatan serta kesihatan anggota juga perlu diberi fokus bagi memastikan mereka dalam keadaan selamat dan sihat.
Menelusuri sejarah penubuhan JBPM di Malaysia pula, ia bermula pada tahun 1883 dengan dikenali sebagai Pasukan Bomba (Sukarela) yang ditubuhkan di Selangor dan dianggotai 15 orang yang diketuai oleh H F Bellemy.
Pasukan itu dilengkapi dengan sebuah pam tangan yang diletakkan di atas kereta sorong.
Pada tahun 1895, pasukan itu menempa sejarah dengan menjadi pasukan bomba tetap yang pertama di Malaya dan ia terus berkembang dari semasa ke semasa.
Sehinggalah pada 1 Januari 1976, Perkhidmatan Bomba negeri-negeri disatukan di bawah pentadbiran kerajaan pusat iaitu di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ketika ini Bab X, Akta Kerajaan Tempatan, Akta 171, telah diguna pakai bagi semua negeri kecuali Sabah dan Sarawak iaitu mulai 1982.
Pada 1 Januari 1977, Perkhidmatan Bomba Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka disatukan di bawah kerajaan pusat.
Pada 15 Mei 1981 pula, Perkhidmatan Bomba Sabah dan Sarawak disatukan di bawah kerajaan pusat.
Seterusnya, pada 8 Januari 1997 Jemaah Menteri bersetuju dengan perubahan nama Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia kepada JBPM.
Sumber – BERITA HARIAN