‘Tolong encik, saya bukan kerja sini’

Oleh – Syeikh Baran


'Tolong encik, saya bukan kerja sini'
JIM menyerbu tiga premis menjual buah dan menahan pekerja asing serta majikan di sekitar ibu negara, pada Jumaat.

“Tolong cik, saya cuma datang beli barang saja, bukan kerja sini.”

Itu helah seorang lelaki warga Bangladesh yang mahu melepaskan diri selepas ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini pada Jumaat.



Bagaimanapun, alasan lelaki berusia lingkungan 30-an itu hanya menjerat diri selepas disoal berulang kali oleh pegawai JIM Kuala Lumpur hingga mengaku sebenarnya dia merupakan pekerja premis tanpa permit sah.

Op Belanja yang menyasarkan premis perniagaan di sekitar Jalan 6/3a, Selayang itu juga mengesan cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri selepas menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa JIM.

Pelbagai alasan diberikan PATI selepas ditahan antaranya hanya datang membeli barang dan berjumpa rakan.

Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang dipercayai pengusaha kedai buah turut ditahan kerana menggajikan PATI.



Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, tiga premis menjual buah-buahan diperiksa pihaknya dalam operasi bermula jam 11 pagi.
 
“Seramai 15 orang diperiksa membabitkan enam warga tempatan serta sembilan warga asing.
 

“Daripada jumlah itu enam ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan lima PATI lelaki iaitu dua Bangladesh dan tiga Myanmar,” katanya pada Sabtu.

Tegasnya, kesemua PATI ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Bukit Jalil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 6(1)(C) akta yang sama.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button