Anggota dah beri amaran suspek tetap serang, cuba rampas submesingan
Oleh – Syeikh Baran
Suspek menyerang anggota polis sentri di Balai Polis Dato Keramat di sini, awal pagi tadi cuba merampas senjata submesingan atau lebih dikenali sebagai HK MP5 yang disandang mangsa selepas tidak menghiraukan nasihat dan amaran supaya beredar.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki berusia 35 tahun itu juga bertindak memaki hamun ketika dia mengarahkan anggota terbabit membuka pintu pagar balai berkenaan .
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi tadi apabila anggota polis bertugas di Balai Polis Dato Keramat telah didatangi seorang lelaki tempatan yang berada di bawah pengaruh alkohol.
“Tindakannya berjaya dihalang namun suspek kemudiannya mengambil topi keledar dan cuba menyerang anggota bertugas sehingga menyebabkan berlakunya pergelutan semasa proses tangkapan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dua rekod berkaitan dadah, manakala ujian awal air kencing suspek didapati bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
“Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 22 Mei untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE