Lelaki berparang samun kedai runcit ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki berparang samun kedai runcit ditahan
Suspek ditahan bersama sebilah parang digunakan sewaktu samun sebuah kedai runcit di di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Seorang lelaki tempatan ditahan selepas terbabit kes samun sebuah kedai runcit dengan bersenjatakan parang di tepi Jalan Datuk Abdullah Yasin, Kampung Baru, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa sekitar pukul 12.08 tengah hari tadi.



“Sebaik terima laporan polis, pengesanan suspek dijalankan dan berjaya menahan seorang lelaki 46 tahun sekitar pukul 2.54 petang.

“Turut dirampas sebilah parang berukuran 46 sentimeter. Suspek akan direman esok bagi siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, semakan awal terhadap suspek yang tidak bekerja itu mendapati positif amphetamine dan methamphetamine.

“Selain itu, suspek turut memiliki 14 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik,” katanya.



Tambah Dellhan, siasatan kes ini masih berjalan dan pihak polis menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkenaan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Jelasnya, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Terdahulu, tular di laman sosial X rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian samun di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, baru-baru ini.

Rakaman video berkenaan memaparkan suspek bertindak meluru masuk ke dalam sebuah kedai runcit sebelum mengacu sebilah parang terhadap mangsa yang berada di kaunter.



Suspek kemudiannya dilihat cuba menetak mangsa beberapa kali sehingga terkena barangan yang terdapat di ruangan kaunter itu.

Mangsa turut dilihat cuba mempertahankan diri dengan menghalang tindakan suspek itu sebelum suspek dilihat melarikan diri sejurus kejadian.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button